Tuesday, December 29, 2009

THANKS FOR BEING MY FRENZ...

Hujan masih setia menyimbah diri ke Bumi Ilahi ini. Aku yang keboringan lagi ketandusan rasa selesa ini mula menjinakkan kembali diriku di lembah ini. Sungguh aku rasa begitu tidak selesa bila memikirkan saat esok kan tiba menerjah ke ruang peribadi ku bagi melakarkan warna baru kehidupanku sebentar nanti. Aku jadi resah memikirkan ke manakah diriku ini bakal dilontarkan bagi memulakan alam professionku itu..Bukan kejauhan itu kugusar apatah lagi ke sekolah manakah bakal ku jejak namun kemampuan aku untuk menyesuaikan diriku di arena baru kehidupanku sebagai seorang yang berstatus C.I.K.G.U... Oh! rakan-rakan sependidikan jasmaniku...Aku jadi rindu untuk bersama kalian lagi...Janganlah kalian menggetawakan puitisnya ayatku berjimba-jimba di lembah ini...Aku tidak pandai menjadikan ayatku umpama Hasliana yang pandai menyimplekan bahasa lagi menyeronokkan para pembaca...Aku hanya pandai mensastrakan bahasa sesuka hati.....

Kita tidak lagi kan bersama untuk menjimnastikkan diri, berforward roll dan menghead standkan kepala yang juaranya sudah pasti tidak lain dan tidak bukan adalah Martina...Sudah pasti tiada lagi hujah-hujah bernas yang bakal dilontarkan oleh kita apabila berbicara kepada 'mereka-mereka dan keluarga mereka' termasuk Ustaz Harun kesayangan Che On...dan di manakah nanti kan ku cari sahabat sepemakanan yang bakal menggamit diriku ke kedai-kedai makan terkemuka mahupun kurang terkemuka laksana pizza hut dan kedai-kedai yang sewaktu dengannya termasuklah Warung Bawal Molex yang pertama kalinya ku jejak bersama kalian meskipun jarak rumahku dengannya hanya sekentut cuma...aduhai tiada lagi semua itu..begitu sadis ku rasakan kini...

Kepada rakan-rakan sependidikan jasmaniku, meskipun kita pernah melalui suka duka lagi nestapa bersama apatah lagi mengharungi liku-liku KPLI yang serba beronak duri namun banyak kenangan manis, masin, masam dan pahit laksana masakan tiga rasa telah kita jelajahi..Pun begitu yang manis jualah sentiasa terpahat di sanubari...Teringat aku akan pesan Ahli Bijak Pandai, tak ingat lagi siapakah orangnya sama ada Aristotle, Ibnu Sina atau siapa atau akukah yang sengaja mengatakan ianya pesan Ahli Bijak Pandai.." Sesuatu itu akan dirasai satu kemanisan hanya apabila kita telah melalui atau meninggalkannya dan itulah yang dinamakan Kenangan"...

Datin Hasliana: Janganlah dikau mengatakan kakakmu ini telah mencopy paste atau mempalgiat hasil nukilanmu di dalam blogmu itu...Ini adalah hak cipta terpelihara...blog baru saja kucipta kerana mengisi masa singgangku..hehe

Che on: Semoga bakal bertemu jodoh dengan Mr.S kesayangan...sentiasalah rindu akan kekandamu ini kerena tidak dapat dipostingkan bersama di Penang.:(...

Mun: Walaupun belum menceburi alam 'muka buku', Ku doakan bakal mendapat bebi yang cumil lagi montel....kita2 yang lain berpulun2 lah ke arah itu...hehe

Sharimi: Ekau nanti bakal jadi oghang nogoghi ni ha, takpo ekau ke nogoghi sombilan ado hikmahnya, ekau bakal dapek jodoh oghang noghoghi, insyaallah, moga berjaya di sinun :)

Syabiha: Moga dapat posting dekat ngan husband nanti...:)

Mus: Rindu-rindukanlah kakandamu di sinin yang kuat makan sama denganmu itu serta rakan-rakan yang lain...hehehe..

Tina: Tiada sebarang khabar darimu...masih dalam mood haneymoon kot...:)

"Doa-doakanlah kejayaan kita bersemi bersama-sama dalam melayari bahtera kehidupan sebagai C.I.K.G.U"

Sunday, December 27, 2009

BERDOALAH SELALU

Artikel ini ku petik daripada sebuah buku motivasi islam yang kurasakan agak bagus untuk dikongsikan bersama. Sebagai panduan dan peringatan bersama, ku kira tajuk yang ku garapkan di sini agak sinonim dalam kehidupan umat manusia. Apa yang ku nukilkan di bawah merupakan adabtasi daripada penulis sebenar buku tersebut.

Dalam mengejar arus pemodenan, sebahagian besar ummat islam semakin lupa mengingati Allah SWT, apatah lagi untuk bersyukur di atas limpahan rahmat kurniaNya. Tetapi akan mula mengingatiNya apabila ditimpa dengan kesusahan atau musibah.

Sesungguhnya berzikir dan berdoa kepada Allah SWT, memohon rahmat dan perlindungan dariNya adalah salah satu jalan atau cara untuk mendekatkan diri kita kepadaNYa serta mempertingkatkan lagi taqwa dan keimanan kita. Apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja. Cuma masanya sahaja yang hanya Allah sahaja mengetahuinya. Harus diingat untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah diperlihara oleh setiap orang yang berdoa.

Di antara tuntutan dan etika berdoa itu ialah:
1. Memelihara sumber rezeki seperti makan, minum dan pakaian daripada sumber yang haram.
2. Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah serta berselawat kepada Rasulullah SAW.
3. Berdoa selaras dengan amal salih.
4. Berdoa dengan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.
5. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.
6. Berdoa dengan disertai keredhaan hati, khusyuk jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut terhadap azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya.
7. Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya.
8. Berterusan berdoa dan mengulang-ulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa dengan menganggap doa tidak dikabulkan.
9. Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat atau ketika doa mudah dan cepat dikabulkan diantaranya:
  • Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu.
  • Ketika lailatul qadar.
  • Hari arafah.
  • Di bulan Ramadhan.
  • Hari dan malam Jumaat.
  • Di antara azan dan iqamah.
  • Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan.
  • Ketika sujud di dalam sembahyang.
  • Ketika mendengar kokokan ayam.
  • Ketika waktu hujan.
  • Ketika minum air zam-zam
  • Ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam.
  • Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatan dan kemuliannya yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjid Al-Haram, masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.
Begitulah etika dan waktu doa mudah untuk dimakbulkan. Berdoa menunjukkan ingatan kepada Allah yang maha berkuasa.

Friday, December 25, 2009

Akukah Cikgu Itu?

Kelihatan mu'adz sedang nyenyak lena diulit mimpi..walidnya juga kelihatan sebegitu rupa..nyenyakkah kedua-duanya? Harapanku begitu...Aku jua yang masih terkontang kanting seorang diri di sini bermain dengan dunia 'maya' yang telah mengheretku untuk menjadi seorang blogger di lembah nan permai ini..Tintaku menari lagi...Aku merasakan lembah ini begitu permai hanyalah kerana aku bisa menukilkan segala-galanya yang berlegar di segenap ruang hipotalamusku...aku juga bisa menghamburkan rasaku, detik hatiku dan rona perasaanku di lembah ini..Sesekali Mu'adz merengek kecil..begitulah rutin tidurnya...Kenapa bahasa kesusasteraanku pada malam ini sebegini rupa..seakan novelis lagaknya...Hehe

Gelisah hatiku dalam menghitung hariku untuk bergelar 'Pendidik'..Mampukah aku sebagai insan yang serba kerdil lagi biasa ini untuk menakluki dunia insan-insan kecil yang ada kalanya mencabar kewarasan mereka-mereka yang telah dahulu berjuang menjadi pendidik sebelumku..Ya ALLAH, berikanlah kekuatan pada hambamu yang lemah ini dalam mengharungi segala cabaran mendatang..

Ku sorot kembali akan cita-citaku apabila ditanya oleh cikguku sewaktu di bangku atau kerusi persekolahan. Setiap kali aku diminta untuk memperkenalkan diriku pasti cita-cita yang terpacul dari mulutku adalah 'cikgu' meskipun pada ketika itu benak perutku tidak pernah memahami atau sama sekali menghayati apa erti sepatah perkataan yang berbunyi 'cita-cita' itu..Maklumkan di alam sekolah rendah aku bukanlah dalam kalangan murid yang sentiasa mendapat perhatian para cikgu apatah lagi bakal disenyum lebarkan dengan keputusan yang cemerlang, gemilang lagi terbilang...Aku hanya seorang murid biasa yang hidup dalam keluarga yang biasa-biasa juga..Akan tetapi itulah cita-citaku apabila ditanya ingin menjadi apa? C.I.K.G.U jawapannya.

Pabila aku melangkah dengan lebih remaja ke alam Sekolah Tinggi, ku namakan sekolah tinggi kerana sememangnya sekolah aku pada ketika itu adalah Sekolah Tinggi Bukit Mertajam atau dengan nama popularnya BM High School. Aku mula tidak suka dengan kerjaya cikgu ini. Kenapa aku tidak suka? Jawapannya kerana aku melihat akan kelelahan para cikgu yang mengajar di sekolahku...Kesusahpayahan mereka untuk membentuk pelajar-pelajar nakal yang kebanyakkannya ada di dalam kelasku pada ketika itu...Oh! susahnya menjadi cikgu...tidak mahu aku berpaling kepada cita-cita ini lagi...namun untuk mengisi kekosongan pada bahagian cita-cita apabila ditanya aku tetap memenuhi ruangan tersebut dengan jawapan CIKGU...Hipokritkah aku atau Hipokritkah cita-citaku...Cikgu juga tidak menjadi pilihanku di universiti meskipun cikgu2 di sekolahku sibuk merekomenkan aku dengan kesesuaianku untuk menjadi cikgu lantaran membuat pilihan untuk menjalani kursus itu namun aku tetap dengan pendirianku tatkala itu..Begitu teguh dan kukuhnya pendirianku tatkala itu seteguh Tugu Negara lagaknya..Benarkan tugu negara itu teguh? Itu hanyalah ciptaan manusia yang tidak mampu menandingi yang MAHA mencipta segalanya..

Benarlah bak kata pepatah,'Sekali Air Bah, Sekali pantai berubah', namun tidaklah aku mahu mengibaratkan diriku begitu sinonim dengan pepatah itu kerana pendirianku hanya berubah sekali bukan berkali-berkali seperti apa yang diertikan oleh pepatah tersebut. Pupus dan lupusnya persepsi aku untuk tidak menjadi cikgu telah tercatat dan terpahat dalam kamus kehidupanku apabila aku mula berkecimpung dalam menerjahi dunia anak-anak kecil ini sewaktu aku diberikan sedikit ruang oleh mereka-mereka yang berjasa untuk menyandarkan diriku sebagai seorang guru di SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT GELUGOR..Ku 'capital letter' kan nama sekolah tersebut kerana segala kenangan manisku dalam memahatkan cita-citaku sebagai seorang cikgu bermulanya di sini..Aku teramat rindu pada bekas anak-anak didikku di sekolah ini..sudah remajakah mereka? Adakah mereka jua merindui diriku? atau hanya akukah yang merindu sendiri :(

Lalu aku telah membuka lorong terhadap diriku sendiri untuk mempertungkus-lumuskan usahaku demi merealisasikan impian emasku untuk menjadi cikgu meskipun terpaksa mengharungi pelbagai ranjau serta onak duri nan berliku lagi bersimpang siur dan berbecak-becak jalannya. Akhirnya aku berjaya jua dengan Keizinan dariNYA untuk mengecapi CITA-CITA tersebut mungkin jua berkat aku sentiasa menyebut CIKGU sebagai CITA-CITAKU suatu ketika dulu..Harus diingat setiap kata yang dilafazkan itu merupakan satu doa...Justeru, ungkapkanlah kata-kata yang terbaik setiap waktu...Langkah aku bakal bermula...Bagi yang sudi membaca nukilanku yang agak lebar serta panjang lagi berjela-jela ini doakanlah akan ketabahan untuk diriku yang serba biasa ini...DOAKAN AKU MENJADI CIKGU YANG TERBAIK BUKAN DI MATA ORANG LAIN TAPI UNTUK DIRIKU SENDIRI DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH S.W.T DAN MENJADIKAN TANGGUNGJAWAB INI SEBAGAI SATU IBADAH..


Wednesday, December 23, 2009

YA BUNAYYA MU'ADZ


Tanggal 8 November 2007 tepat jam 4.53 petang merupakan detik kelahiran zuriatku tercinta sebagai pengikat kasih sayang aku dah suami setelah lebih kurang 3 tahun menunggu degan penuh sabar dalam menghitung hari bersejarah ini. Bagaikan angan dalam sedar aku telah melahirkan seorang zuriat yang telah kukandung selama lebih kurang 40 minggu di dalam rahimku ini.

Mu'adz..itulah nama yang begitu ingin suamiku berikan setelah sekian lama meskipun ringkas namun mendalam maksudnya. Kini Mu'adz telah pun menginjak ke usia 2 tahun, satu usia yang ku kira penuh dengan pelbagai warna warni keletah dan ragam di awal tumbesarannya untuk menjangkaui alam kanak-kanak.

Alhamdulillah, dalam usianya kini Mu'adz ku kira sudah dapat mengenal nombor dan abjad serta beberapa huruf hijjahiyah. Perkembangannya ini kurasakan mungkin sama seperti kanak-kanak seusianya. Apa yang amat mengharukan aku Mu'adz sudah pandai menamakan beberapa ahli keluarga yang dekat dengannya serta menyambung surah al-fatihah, asma'ul husna serta beberapa doa ringkas apabila dibacakan kepadanya meskipun tidaklah sefasih kanak-kanak yang lebih berusia namun aku bersyukur.Panjatan syukur hanya layak buat yang MAHA mengurniakan segalanya.

Apa yang ku coretkan di sini hanyalah catatan peribadiku buat seorang cahaya mata yang amat ku sayangi dan setiap perkembangan yang dilalui olehnya ingin kurakamkan dan adabtasikan dalam coretanku sendiri supaya aku dapat menceritakan kepadanya apabila Muad'z dapat memahaminya suatu hari nanti.

Buat anakandaku MU'ADZ, Ummi dan Walid akan senantiasa mendoakan yang terbaik untukmu dan mengharapkan dikau membesar menjadi insan yang sempurna Akhlaknya, sehebat Mu'adz Bin Jabbal insyaallah...

Tanda-tanda besar KEMATIAN



Hayati senikata lagu DETIK KEMATIAN nyanyian INTEAM

Terpanggil aku untuk berkongsi bersama tentang sesuatu yang akan pasti kita semua hadapai suatu ketika nanti pabila saatnya telah tiba. Perkara ini telah aku ketahui sewaktu menghadiri Kursus Khemah Ibadah di institusi pengajianku. Diulas oleh seorang ustazah yang mahir dalam hal pengurusan jenazah mengenai Tanda-tanda besar akan KEMATIAN. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang telah mengetahui namun apa yang ingin aku coretkan di sini hanyalah sekadar peringatan untuk diri sendiri serta renungan bersama..


Namun tanda-tanda yang dinyatakan di sini hanya diberikan kepada insan-insan yang dikehendakiNYA..Wallahua'lam...

TANDA-TANDA BESAR KEMATIAN
100 hari sebelum meninggal dunia
-Getaran dari hujung rambut sampai hujung kaki pada waktu asar.

40 hari sebelum meninggal dunia
-Bahagian pusat akan berdenyut sesudah waktu asar. Pada ketika ini daun di arasy ALLAH akan bertukar menjadi kuning dan akan terjadi sekilas lalu malaikat maut menunjukkan wajah kepada manusia yang terpilih sahaja.

7 Hari sebelum meninggal dunia
-Diberi kepada mereka yang sakit teruk berubah kepada kesihatan yang baik.

3 Hari sebelum meninggal dunia
-Denyutan di bahagian tengah dahi-Bagi mereka yang merasai tanda-tanda sedemikian hendaklah berpuasa bagi memudahkan diistinjak apabila telah meninggal dunia.

1 Hari sebelum meninggal dunia
-Denyutan di bahagian ubun-ubun

Hari yang sama sebelum meninggal dunia
-Sejuk pada bahagian pusat ke pinggang.Hendaklah mereka berdiam diri menunggu malaikat maut datang menjemput.

'SAMPAIKANLAH WALAU HANYA SATU AYAT'



Monday, December 21, 2009

DOA UNTUK ANAK

Sekadar perkongsian dan amalan bersama:
  • Doa memohon rahmat : surah Ali Imran ayat 8-9
  • Doa memohon zuriat yang baik : surah Ali Imran ayat 38
  • Doa anak kerjakan solat : surah Ibrahim ayat 40-41
  • Doa anak Taat kepada Allah : surah Al-Baqarah ayat 128
  • Doa diberikan zuriat sejuk mata memandang : surah Al-Furqan ayat 74
  • Doa anak pandai belajar : surah Al-Anbiya' ayat 79
  • Doa anak lembut hati : surah Al-Anbiya' ayat 69 atau Al-Hasyar ayat 20-24
  • Doa anak rajin sekolah : surah Taha ayat 1-5

SEJARAH PENUBUHAN BLOG

Jangan terkejut bila membaca ayat skema pada title di atas...itu hanyalah sebagai daya penarik semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia..

Kembali kepada tujuan asalku menulis untuk post kali ini yang judulnya sama seperti di atas..Sudah sedia termaklum akan segala yang wujud di muka bumi ini pasti mempunyai sejarahnya yang tersendiri atau tersembunyi. Akan tetapi aku tidak ingin menyembunyikan kenapa aku membina blog ini kerana itulah aku ingin berkongsi akan sejarah penubuhannya di sini. Aku sebenarnya bukanlah penulis novel yang pandai membungakan bahasa, bermadah pujangga atau menyusun kata. Aku cuma insan biasa yang memiliki sedikit rasa yang adakalanya terpendam sekian lama. Hati kecilku seakan melonjak-lonjak bagai dipanggil-panggil untuk 'melaksanakan sesuatu' agar dapat ku adabtasikan luahan rasa, impian jiwa dan ragaku pada 'sesuatu'..

Justeru, aku terbelenggu seketika di manakah tempat yang paling 'cocok' untuk aku merealisasikan impianku itu...Diari? Oh! Sudah berabad lama zaman itu memohon permisinya...sudah pupus penggunaan pena atau tinta untuk menukilkan belahan jiwa pada sehelai kertas kosong yang tidak mengerti apa2, penggunaan diari yang tidak boleh dikongsi oleh sesiapa..aku sendiri kurang merelevenkan diriku untuk mengaplikasikannya lagi..

Lalu aku menjerumuskan diriku ke lembah 'blog' ini kerana aku merasakan ianya merupakan satu alat yang amat praktikal pada abad ini untukku menghamburkan segala-galanya malah dapat pula aku kongsikan bersama 'pengikut yang setia'..adakah aku memiliki pengikut? tak mengapa kerana aku lebih suka berkarya meskipun tiada siapa yang mahu membacanya kerana aku merasakan satu kepuasan yang tiada taranya..ITULAH AKU YANG TIDAK MUNGKIN BOLEH MENJADI SESIAPA...Aku harus akur dengan setiap kurniaan yang MAHA MENCIPTA kerana setiap yang diciptakannya pasti mempunyai hikmah dan keunikan tersendiri...

HIKMAH

Tujuh golongan yg akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya di hari tdk ada naungan kecuali naungan-Nya.
1.Pemimpin yg adil
2.Pemuda yg sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya
3.Orang yg hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid
4.Dua orang yg saling mengasihi karena Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah
5.Seorang lelaki yg diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yg cantik utk melakukan kejahatan tetapi dia berkata, 'Aku takut kepada Allah!'
6.Seorang yg memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yg diberikan oleh tangan kirinya dan
7.Seseorang yg mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dr kedua matanya" (HR. Bukhari & Muslim)

Sumber: Dudung.net

Sunday, December 20, 2009

Mutiara Kata..


Allah did not promise that the way would be easy
But HE did promise that HE would be with you
in every single step of your life
as long as you want HIM to..

Friday, December 18, 2009

SEKADAR RENUNGAN

KASIHMU AMANAHKU



Lagu yang menjadi kenanganku dan suami...sebagai penghubung dan pengerat kasih sayang..menjadi panduan sepanjang kami melayari bahtera kehidupan..

MY LUVLY FAMILY

Kenanganku ketika bercuti di Kelantan dan Terengganu tahun lepas...Banjir akhir tahun tidak mematikan niat kami sekeluarga untuk menikmati keindahan di kedua-dua buah negeri tersebut yang jurung-jurung kali dapat kami kunjungi...Harapanku dan keluarga agar kami dapat ke sana lagi pada percutian akan datang...

Pada pendapat aku, kalau nak balik biarlah pada siang hari yang tidak membawa sampai kemalam kerana kami telah melalui satu perjalanan yang agak menggerunkan dan membahayakan ketika pulang dalam suasana yang gelap dan kehujanan terutama di jalan Gerik yang tiada sebarang lampu dan berselekoh...Takutnya hanya tuhan saja yang tahu sehingga aku tidak dapat melelapkan mata sepanjang perjalanan pulang meskipun keletihan yang teramat sangat..