Sunday, December 27, 2009

BERDOALAH SELALU

Artikel ini ku petik daripada sebuah buku motivasi islam yang kurasakan agak bagus untuk dikongsikan bersama. Sebagai panduan dan peringatan bersama, ku kira tajuk yang ku garapkan di sini agak sinonim dalam kehidupan umat manusia. Apa yang ku nukilkan di bawah merupakan adabtasi daripada penulis sebenar buku tersebut.

Dalam mengejar arus pemodenan, sebahagian besar ummat islam semakin lupa mengingati Allah SWT, apatah lagi untuk bersyukur di atas limpahan rahmat kurniaNya. Tetapi akan mula mengingatiNya apabila ditimpa dengan kesusahan atau musibah.

Sesungguhnya berzikir dan berdoa kepada Allah SWT, memohon rahmat dan perlindungan dariNya adalah salah satu jalan atau cara untuk mendekatkan diri kita kepadaNYa serta mempertingkatkan lagi taqwa dan keimanan kita. Apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja. Cuma masanya sahaja yang hanya Allah sahaja mengetahuinya. Harus diingat untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah diperlihara oleh setiap orang yang berdoa.

Di antara tuntutan dan etika berdoa itu ialah:
1. Memelihara sumber rezeki seperti makan, minum dan pakaian daripada sumber yang haram.
2. Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah serta berselawat kepada Rasulullah SAW.
3. Berdoa selaras dengan amal salih.
4. Berdoa dengan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.
5. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.
6. Berdoa dengan disertai keredhaan hati, khusyuk jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut terhadap azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya.
7. Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya.
8. Berterusan berdoa dan mengulang-ulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa dengan menganggap doa tidak dikabulkan.
9. Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat atau ketika doa mudah dan cepat dikabulkan diantaranya:
  • Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu.
  • Ketika lailatul qadar.
  • Hari arafah.
  • Di bulan Ramadhan.
  • Hari dan malam Jumaat.
  • Di antara azan dan iqamah.
  • Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan.
  • Ketika sujud di dalam sembahyang.
  • Ketika mendengar kokokan ayam.
  • Ketika waktu hujan.
  • Ketika minum air zam-zam
  • Ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam.
  • Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatan dan kemuliannya yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjid Al-Haram, masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.
Begitulah etika dan waktu doa mudah untuk dimakbulkan. Berdoa menunjukkan ingatan kepada Allah yang maha berkuasa.

No comments:

Post a Comment