Friday, December 25, 2009

Akukah Cikgu Itu?

Kelihatan mu'adz sedang nyenyak lena diulit mimpi..walidnya juga kelihatan sebegitu rupa..nyenyakkah kedua-duanya? Harapanku begitu...Aku jua yang masih terkontang kanting seorang diri di sini bermain dengan dunia 'maya' yang telah mengheretku untuk menjadi seorang blogger di lembah nan permai ini..Tintaku menari lagi...Aku merasakan lembah ini begitu permai hanyalah kerana aku bisa menukilkan segala-galanya yang berlegar di segenap ruang hipotalamusku...aku juga bisa menghamburkan rasaku, detik hatiku dan rona perasaanku di lembah ini..Sesekali Mu'adz merengek kecil..begitulah rutin tidurnya...Kenapa bahasa kesusasteraanku pada malam ini sebegini rupa..seakan novelis lagaknya...Hehe

Gelisah hatiku dalam menghitung hariku untuk bergelar 'Pendidik'..Mampukah aku sebagai insan yang serba kerdil lagi biasa ini untuk menakluki dunia insan-insan kecil yang ada kalanya mencabar kewarasan mereka-mereka yang telah dahulu berjuang menjadi pendidik sebelumku..Ya ALLAH, berikanlah kekuatan pada hambamu yang lemah ini dalam mengharungi segala cabaran mendatang..

Ku sorot kembali akan cita-citaku apabila ditanya oleh cikguku sewaktu di bangku atau kerusi persekolahan. Setiap kali aku diminta untuk memperkenalkan diriku pasti cita-cita yang terpacul dari mulutku adalah 'cikgu' meskipun pada ketika itu benak perutku tidak pernah memahami atau sama sekali menghayati apa erti sepatah perkataan yang berbunyi 'cita-cita' itu..Maklumkan di alam sekolah rendah aku bukanlah dalam kalangan murid yang sentiasa mendapat perhatian para cikgu apatah lagi bakal disenyum lebarkan dengan keputusan yang cemerlang, gemilang lagi terbilang...Aku hanya seorang murid biasa yang hidup dalam keluarga yang biasa-biasa juga..Akan tetapi itulah cita-citaku apabila ditanya ingin menjadi apa? C.I.K.G.U jawapannya.

Pabila aku melangkah dengan lebih remaja ke alam Sekolah Tinggi, ku namakan sekolah tinggi kerana sememangnya sekolah aku pada ketika itu adalah Sekolah Tinggi Bukit Mertajam atau dengan nama popularnya BM High School. Aku mula tidak suka dengan kerjaya cikgu ini. Kenapa aku tidak suka? Jawapannya kerana aku melihat akan kelelahan para cikgu yang mengajar di sekolahku...Kesusahpayahan mereka untuk membentuk pelajar-pelajar nakal yang kebanyakkannya ada di dalam kelasku pada ketika itu...Oh! susahnya menjadi cikgu...tidak mahu aku berpaling kepada cita-cita ini lagi...namun untuk mengisi kekosongan pada bahagian cita-cita apabila ditanya aku tetap memenuhi ruangan tersebut dengan jawapan CIKGU...Hipokritkah aku atau Hipokritkah cita-citaku...Cikgu juga tidak menjadi pilihanku di universiti meskipun cikgu2 di sekolahku sibuk merekomenkan aku dengan kesesuaianku untuk menjadi cikgu lantaran membuat pilihan untuk menjalani kursus itu namun aku tetap dengan pendirianku tatkala itu..Begitu teguh dan kukuhnya pendirianku tatkala itu seteguh Tugu Negara lagaknya..Benarkan tugu negara itu teguh? Itu hanyalah ciptaan manusia yang tidak mampu menandingi yang MAHA mencipta segalanya..

Benarlah bak kata pepatah,'Sekali Air Bah, Sekali pantai berubah', namun tidaklah aku mahu mengibaratkan diriku begitu sinonim dengan pepatah itu kerana pendirianku hanya berubah sekali bukan berkali-berkali seperti apa yang diertikan oleh pepatah tersebut. Pupus dan lupusnya persepsi aku untuk tidak menjadi cikgu telah tercatat dan terpahat dalam kamus kehidupanku apabila aku mula berkecimpung dalam menerjahi dunia anak-anak kecil ini sewaktu aku diberikan sedikit ruang oleh mereka-mereka yang berjasa untuk menyandarkan diriku sebagai seorang guru di SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT GELUGOR..Ku 'capital letter' kan nama sekolah tersebut kerana segala kenangan manisku dalam memahatkan cita-citaku sebagai seorang cikgu bermulanya di sini..Aku teramat rindu pada bekas anak-anak didikku di sekolah ini..sudah remajakah mereka? Adakah mereka jua merindui diriku? atau hanya akukah yang merindu sendiri :(

Lalu aku telah membuka lorong terhadap diriku sendiri untuk mempertungkus-lumuskan usahaku demi merealisasikan impian emasku untuk menjadi cikgu meskipun terpaksa mengharungi pelbagai ranjau serta onak duri nan berliku lagi bersimpang siur dan berbecak-becak jalannya. Akhirnya aku berjaya jua dengan Keizinan dariNYA untuk mengecapi CITA-CITA tersebut mungkin jua berkat aku sentiasa menyebut CIKGU sebagai CITA-CITAKU suatu ketika dulu..Harus diingat setiap kata yang dilafazkan itu merupakan satu doa...Justeru, ungkapkanlah kata-kata yang terbaik setiap waktu...Langkah aku bakal bermula...Bagi yang sudi membaca nukilanku yang agak lebar serta panjang lagi berjela-jela ini doakanlah akan ketabahan untuk diriku yang serba biasa ini...DOAKAN AKU MENJADI CIKGU YANG TERBAIK BUKAN DI MATA ORANG LAIN TAPI UNTUK DIRIKU SENDIRI DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH S.W.T DAN MENJADIKAN TANGGUNGJAWAB INI SEBAGAI SATU IBADAH..


No comments:

Post a Comment