Tuesday, June 15, 2010

SENYUM ITU SATU SEDEKAH...

SENYUM (RAIHAN)..

Manis wajahmu kulihat di sana
Apa rahsia yang tersirat
Tapi zahirnya dapat kulihat
Mesra wajahmu dengan senyuman

senyuman...senyuman
Senyum tanda mesra
Senyum tanda sayang
Senyumlah sedekah yang paling mudah
Senyum di waktu susah
Tanda ketabahan
Senyuman itu tanda keimanan
Senyumlah senyumlah senyumlah senyumlah..

Hati yang gundah terasa senang
Bila melihat senyum hatikan tenang
Tapi senyumlah seikhlas hati
Senyuman dari hati jatuh ke hati..

Senyumlah senyumlah
Senyumlah seperti Rasulullah
Senyuman bersinar dengan cahaya
Senyumlah kita hanya kerana Allah
Itulah senyuman bersedekah..

Senyumlah senyumlah senyumlah senyumlah
Itulah sedekah yang paling mudah
Tiada rasa terhutang budi
Ikatan persahabatan antara kita
Tapi senyum jangan di salah guna
Senyumlah senyumlah senyumlah senyumlah...

Friday, June 4, 2010

Diam-diam ubi..berisi.:)

Lama sudah tidak menjengah apatah lagi menukilkan secubit dua rasa di laman ini..Pembawakan satu nyawa yang menghuni ruang rahimku ini yang merupakan satu anugerah ALLAH menyebabkan kurangnya minatku untuk berlama-lamaan di ruangan maya ini..mungkinkah itu merupakan sebuah alasan yang bernas lagi kukuh?

Cuti sekolah kembali lagi..tibalah masaku untuk kembali merehlahkan diri....Aku tidak merasakan sebarang tekanan yang agak membebankan meskipun aku belum setahun jagung bergelar cikgu....mungkin kerana persekitaran sekolah yang dihuni oleh para-para guru yang tidak pernah memberikan tekanan atau mungkinkah bebanan kerja yang tidak keterlaluan atau mungkin kerana aku telah kembali kepada fitrah asal pengajaranku sebelum ini...atau mungkin jua minda dan jiwaku serasi di situ...segalanya mungkin-mungkin belaka....

Banyak betul perancangan dan angan-angan mat jenin yang ingin aku buat sepanjang cuti-cuti seantero sekolah ni..Antaranya adalah seperti yang ditaipkan di bawah (ayat skema):
1. Pindah rumah
2. Kemas rumah cantik-cantik
3. Pi sekolah latih budak robotik
4. Pi sekolah latih budak nasyid
5. Masak sedap-sedap
6. Makan sedap-sedap

Aku dah dipikulkan tanggungjawab kena latih anak2 didik maka kenalah ditunaikan dengan seikhlas dan setulus yang mungkin..Apa lagi tanggungjawab yang paling besar buat seorang guru melainkan anak-anak muridnya...

Tuesday, May 25, 2010

Dedicated to My Dear Son..

Friday, March 12, 2010

Anugerah Dari ILAHI

Aku kembali lagi..panjatan kesyukuran hanyak layak ditadahkan kepadaNYA...tenkiu ALLAH pada anugerah yang tak ternilai buat hambaMU yang kerdil ini...Moga bakal zuriat yang ku kandung ini akan terus membesar dengan sihat dan sempurna di dalam rahimku serta dilahirkan menjadi seorang insan yang mencintai agamaMU...AMIN YA RABB...
To My dearest Mu'adz: Be a good son n future brother...Ummi always luv u!

Saturday, March 6, 2010

MUTIARA HATI

Rasullullah S.A.W bersabda:
"Berbahagialah hidup di dunia orang yang mengumpul kebajikan untuk bekalan hari akhiratnya, sehingga dia memperolehi redha TUHANNYA, dan celakalah hidup di dunia bagi orang yang dipengaruhi oleh dunia, hingga dia terhalang daripada (mengerjakan) amalan untuk akhiratnya dan lalai untuk memperolehi redha TUHANNYA." -HADIS RIWAYAT AL-HAKIM

Ya Rabb, golongkanlah hambaMU ini dalam kalangan mereka yang senantiasa berusaha untuk berbahagia dalam mendapat redhaMU...AMIN..

Friday, March 5, 2010

Aku adalah aku..

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka, cinta fatamorgana melalai dan menipu daya...adabtasi lirik sebuah lagu yang amat aku minati...bukan lagu yang ingin aku lampirkan di ruangan ini namun lantaran kepanasan yang agak menguji ini telah mewujudkan fatamorgana di tengah hari...namun inilah ujian dari ilahi yang lebih mengetahui segala hikmah yang tersembunyi...alhamdulillah aku masih diberikan ruang untuk menghirup sisa-sisa udara di muka bumi yang maha luas ini..

Aku teramat teruja dalam menghamburkan segala rasaku...kerana bagiku segala luahanku itu merupakan satu terapi jiwa...Jiwaku merasa tenang lagi menyanyi riang pabila segala rasaku dapat ku titipkan di ruangan ini...aku menjadi berganda-ganda tenang pabila aku membacanya berulang-ulang kali....

Dalam puluhan cikgu, aku antara yang kurang bernasib baik dipilih untuk mengekposkan diri sebagai juruacara dalam banjiran para guru dan waris untuk Mesyuarat PIBG kali ini..Sudahlah sedia termaklum lagi tersurat di azali bahawa aku ini merupakan seorang yang mempunyai ciri-ciri 'kenebesan' pada tahap luar kawalan pabila harus mengeluarkan perkataan dan ayat di hadapan khalayak ramai...Maka dengan alasan itu jualah aku lebih suka menjadikan diri aku seorang yang 'berprofile rendah'..Aku hanya mampu bersuara di dalam hati memprotes akan ketidakadilan ini...benarkan ianya merupakan satu ketidakadilan? tidak, mungkin hanya sebuah peluang yang harus diambilberat oleh seorang guru baharu laksana aku untuk menonjolkan bakat yang terpendam lagi tersirat...namun tidak bagiku kerana aku tiada sekelumit pun bakat mahupun minat ke arah itu...Dalam keberatan dan kerendahan diri aku melaksanakan jua akan tanggungjawab aku itu meskipun suaraku tidaklah selunak pengacara dan pembaca berita di kaca televisyen sedia ada...Ku harapkan inilah yang pertama dan terakhir aku harus memegang posisi sedemikian rupa..

Mesyuarat berjalan dengan tahap kepanasan yang berjimba-jimba bukan dek kerana cuaca sediakala namun dek kerana 'kepedasan' usul-usul yang dibentangkan para ibu bapa...Tetiba aku rasakan seakan duniaku berputar, keadaan sekelilingku menjadi gelap, hatiku gundah gulana tiada taranya...mahu pingsankan aku? tidak!! Dek hanya kerana jawatanku dilaungkan untuk menjawab salah satu usul waris murid dari kelasku...'siapa guru kelas 2 Mutiara?' Dengan tahap perlahan aku cuba mengangkat tangan lantas mengatur langkah dengan penuh kesopanan ke hadapan...Aku cuba menyusun ayat dengan sebaik mungkin untuk menjawab persoalan yang aku sendiri kurang pasti akan jawapannya...Lantaran dengan jawapan yang ku berikan, aku telah dijadikan bahan seorang Waris berstatus PHD untuk menikam aku dari hadapan...Tertusuk jantungku seumpamanya dek hanya kerana sepatah perkataan yang tidak sesekali terpacul dari mulutku namun telah disalah pendengarankan oleh waris tersebut...Aku berkira-kira untuk bangun mempertahan diri namun tahap keprofesionalisme keguruanku membataskan aku untuk berbuat demikian...Aku telah difitnah laksana Hang Tuah....

Namun, seluruh pelusuk sekolah telah mendengar segala butir bicaraku...Mereka jualah yang menjadi saksi untukku sehingga aku terlepas dari tuduhan seumpama pesalah di mahkamah...Aku tetap memohon ribuan kemaafan dari waris muridku tersebut meskipun aku tidak bersalah dalam menegakkan kebenaran...Aku akur akan kelemahan para manusia ciptaanNYa yang tidak sunyi dari sebarang kekhilafan...Ya ALLAH, maafkan hambaMU yang serba lemah ini...

Saturday, February 20, 2010

Strawberry cicah coklat...

Aku kembali lagi untuk entry seumpama tajuk yang tertera..Terlebih dahulu aku ingin membuat penjelasan benar bahawa bukannya aku ingin menceritakan mengenai buah strawberry yang di cicah coklat yang baru sahaja aku terjatuh chinta padanya angkara kehadiran aku di sebuah negeri yang sebelum ini tidak pernah aku kunjungi mahupun mengikut lawatan sambil belajar yang acapkali dilakukan pada zaman-zaman era persekolahan....Sesungguhnya gambar dan tajuk hanyalah sekadar hiasan semata namun sedikit mempunyai perkaitan dengan apa yang ingin ku 'momelkan' sejurus nanti...wah! wah! bahasa jiwa bangsa pulak aku adanya...

Aku teramatlah teruja untuk ke Cameron Highland kerana sudah berkurun lamanya aku memasang niat untuk ke negeri yang penuh kesejukan tu namun tidak kecapaian..Pada tanggal 15 Februari lalu dengan sebuah kereta pacuan empat roda (kerana keretaku jua memilik 4 roda maka aku namakan ia jua sebegitu rupa) sang suami telah menekan minyak kereta dengan kelajuan pada kadar lebih kurang 100km sejam melalui lebuhraya utara selatan untuk menyampaikan diri kami sekeluarga di sana. Begitu terujanya diriku sehingga sedikitpun mataku yang buntang ini terus membuntangkan dirinya selama 5 jam tanpa pejam. Sang anakanda terchinta pula bagai dipukau-pukau tidurnya..Sempat jua aku menjamu selera di Restoren Tasik Raban, Ipoh yang memiliki tahap kesedapan yang tidak mengecewakan kepada sang pemakan-pemakan di sana..

Liuk lekok jalan ke destinasi dituju masih tidak mematikan niatku untuk menggembirakan diriku di sana...Namun kesesakan lalulintas akibat cuti perayaan tahun baru cina amat-amatlah kurang menyenangkan sehingga keretaku terpaksa terkemut-kemut laksana siput di perjalanan untuk ke puncak destinasi...aduhai penatnya sampai terkata-kata malah menjadi buah mulutku sepanjang perjalanan..namun aku bersama sang suami dan anakanda tercinta terus tabah menghadapi dugaan...

Akhirnya kami sekeluarga telah sampai ke destinasi yang dituju...Hotel Rossa Passadena terpaksa menjadi pilihan meskipun lokasinya di tengah-tengah kota yang hiruk pikuk laksana manusia yang tidak mahu tidur selama-lamanya..dentuman mercun bersahut-sahutan ekoran kaum cina yang begitu exstreme menyambut perayaan mereka...Seakan kejutan budaya pula pada anakandaku terchinta yang menangis sekuat hati tidak mahu masuk ke bilik hotel..Aku dan sang suamikah yang bersalah kerana tidak pernah membawanya ke hotel sedemikian rupa?...aku cuba bermuhasabah diri bersama sang suami...Hotel di sana jua tiada sebarang kipas apatahlagi aircond namun kesejukan di sana telah memberikan jawapan bahawa segala keperluan itu tiadalah menjadi kepentingan... Aku jua harus akur dengan keperluan urat sarafku...

Aku seakan menjadi orang hilang ingatan seketika pabila melihat kemurahan dan kesegaran buahan dan sayuran yang wujud di sana...Aku seakan ingin memborong semahu-mahunya laksana orang kaya baru yang mendapat durian runtuh tanpa memikirkan duit poket sedia ada...begitulah keexstereman aku sewaktu di sana...Namun akalku yang waras mengatakan aku tidak seharusnya menurut seluruh nafsu wanitaku...aku membeli apa adanya...

Alhamdulillah sampai jua aku di sana...bersama-sama ini aku melampirkan gambar strawberry di cicah coklat sebagai kenanganku tatkala aku kepingin memakan makanan itu...sedap jualah adanya ia...Tenkiu Allah...Pujian-pujian hanya layak BuatMU....




Saturday, February 13, 2010

Gubahanku

Sengaja aku mengcopypastekan lirik di bawah pada lembah nan permai ini sebagai koleksi peribadiku..Aku bukan sehebat sang pencipta lirik a.k.a komposer terkemuka laksana M.Nasir dan seangkatan dengannya..Aku hanya seorang pencinta irama islami yang selama ini telah banyak mendorongku ke arah satu tranformasi diri yang menjuruskan aku untuk cuba menjadi kan diri ini lebih baik dari sebelumnya. Bukan aku ingin mendefinasikan diriku ini sebagai sang manusia yang serba sempurna lagi berakhlak mulia serta baik budi pekertinya kerana aku akur aku punyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlukan penambahbaikan..Namun inilah permulaan permuhasabahan diriku dalam menyediakan halwa telingaku untuk mengadaptasi lirik-lirik sebegini.."Ya Allah kau berikanlah hambaMU ini kekuatan untuk menjadikan diri ini lebih baik dari sebelumnya..''

Lirik kucipta ini sebenarnya telah mempalgiat hasil melodi nasyid-nasyid sedia ada hanya kerana ingin memenuhi tuntutan Pengkhususan GERKO sewaktu di maktab. "Anak-anak puteri sekalian, sila siapkan lirik lagu untuk pertandingan nasyid nanti kerana akan diberi pemarkahan"..Begitulah kata-kata sang pensyarah yang masih terngiang-ngiang di gegendang telingaku...Dalam kesuntukan dan kesibukan, aku dengan penuh dedikasi cuba membuat satu hasilan yang tidak seberapa..kepada sesiapa yang terjumpa, terbuka atau sengaja membuka lembahku nan permai ini dan ingin menyumbangkan melodi baru untuk lagu ini amatlah dialu-alukan supaya dapatlah kiranya kita mengesendkan gubahan ini kepada syarikat-syarikat rakaman nasyid terkemuka laksana Hijjaz, Inteam dan yang sewaktu dengannya....Segala royalti akan dikongsi sama rata....hahahaha....sudikah mereka!!!

Alamak!!!! Mohon ampun beribu ampun sembah patik harap diampun, bukan dengan sengaja patik adanya melupai di mana adanya patik menge'save'kan lirik-lirik lagu tersebut di dalam laptop patik yang canggih lagi bijaksana ini...kerana terlalu canggih jualah adanya maka sudah patik selongkar seleruh pelosok alat ciptaan manusia ini tapi tiada jua dapat ketemu..sungguh menghampakan lagi mengiciwakan...tidak mengapa, adapun kiranya patik ketemuinya di kemudian hari maka akan patik lampirkan jua pada lembah nan permai ini...Sungguh hiba rasanya, mungkin yang MAHA MELIHAT jua tidak merestui akan usaha patik ini jua supaya patik tidak menjadi hamba yang riak lagi menjengkelkan dengan hasil ciptaan patik yang tidak seberapa jua adanya...maafkan patik...tidaklah sesekali patik berniat begitu...Dek kerana sudah terlalu panjang patik mengetaip di sini maka patik mem'publishkan' lah jua entry untuk kali yang kesekiannya....Sampai ketemu lagi di lain lembaran..

p/s: Aku telah mengetaip dahulu sebelum mencari di mana tersoroknya fail tersebut maka beginilah kesudahannya..
Moral of the story: Sediakan payung sebelum hujan...(ada kena mengena ka?)

Friday, February 12, 2010

MARI BERCUTI..

Salam Wabarikh...

Masa untuk cuti-cuti Malaysia...Mula la aku mengembalikan diriku untuk mengaktifkan diri di lembah nan permai ini..Aku kah yang sibuk sebelum ini atau sengaja aku menyibukkan diri?...TIDAK! aku memang amat sibuk sehingga otakku menjadi tepu untuk melontarkan sebarang idea di mana-mana jua waima untuk blogku terchinta..Tambahan pula aku amatlah memahami bahawa tiada siapa pun jua adanya yang selalu terhingin sesangat nak mentelaah blogku ini..tidak mengapa aku sekadar mengaplikasikan lembah nan permai ini untuk luahan perasaanku sendiri...

Aku telah memelankan diriku untuk melakukan pelbagai perkara waktu cuti-cuti malaysia nie...kununnya nak mengkreativitikan diriku ke arah memulunkan diri untuk menghias kelasku yang agak kurang ceria itu...wah! aku sekarang sudah menjadi seorang guru kelas, aku harus melakukan sesuatu untuk anak-anak murid kelasku itu supaya mereka bertambah keceriaan untuk belajar. Guru-guru kelas lain yang jua rakan-rakan seperjuanganku, ku lihat telah memulunkan diri mereka ke arah itu...chaiyok Cikgu Masliza dan pastikan dirimu melakukan semuanya Lillahitaa'la..baru berkat adanya...keberkatan itu penting bagiku kerana aku yakin Allah akan sentiasa redha dengan kerja-kerjaku..Apa yang penting 'keikhlasan'...Bercakap tentang keikhlasan, memang susah pada mulanya untuk menjadikan diriku ini seorang yang tulus lagi ikhlas kerana aku telah diberikan tanggungjawab di pertengahan perjalanan bukan di permulaan perjalanan...semangatku luntur kerana hanya ku yang terpaksa menerima perubahan jadual seratus peratus tetapi tidak orang lain...mengapa aku yang terpilih? Akhirnya aku menemui jawapannya setelah aku memuhasabahkan diriku sendiri dengan agak memuaskan...Semuanya adalah perancangan dariNYA dan pasti apa yang diberikan itu adalah yang terbaik dan mampu dipikul oleh setiap hambaNYA..aku sebagai hamba yang lemah sudah pasti tidak dapat menilik apa yang tersirat disebalik yang telah tersurat...Yang pasti ada hikmah yang bakal aku kecapi..

Akhirnya, aku dengan sedaya upaya yang mungkin cuba mengikhlaskan diriku dan melakukan setiap tugasku mengikut corak kemampuan dan keseronokkanku selagi ianya tidak melampaui batas-batas undang-undang sedia ada..Aku telah mengeluarkan wang poketku jua untuk membelikan segala alat-alat untuk menceriakan kelasku supaya aku sendiri akan merasa suka untuk mengajar di kelas yang agak mencabar itu...Bilik Muzik? Ya Bilik itu jua harus ku hias agak aku merasa seronok untuk berada di dalamnya kerana aku langsung tidak berminat untuk mengajar subjek itu jua adanya...

Tapi...sebelum aku mula memproseskan diriku untuk melakukan itu semua, aku harus berehlah terlebih dahulu sempena cuti-cuti malaysia nie...kemana? hehehe hanya ke Tanah Tinggi Cameron...cukupla sekadar itu dengan bajet yang ada nie...yang penting ianya bakal mengetunekan urat sarafku untuk kembali normal bersama sang suami dan sang anakanda terchinta..mudah-mudahan bertambah-tambah lagi bilangan sang anak-anak ini adanya...Amin...Tenkiu Allah kerana memudahkan segala-galaNYA....

Friday, February 5, 2010

Cikgu Masliza Kembali..

Salam Wabarikh..
Lama sudah aku tidak menjengah ke lembah nan permai nie...aku dah pun bergelar seorang cikgu sekarang..cikgu di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor...macam jodoh kembali aku dengan sekolah ni...itulah yang dinamakan kententuan Allah...

Aku cuba menjadikan diri aku ini seorang cikgu yang berwibawa lagi berdedikasi serta disayangi oleh seluruh pelusuk sekolah terutama anak-anak didikku..Aku sangat bersuka hati apabila diberikan jadual waktu buat pertama kali kerana mendapat subjek yang memang menjadi makananku..kecuali seni...mula2 aku agak kebimbingan kerana tiada sebarang asas seni di dalam diriku ini waima seni mempertahankan diri sekalipun....tapi aku mula suka hati kerana anak-anak muridku sangat berminat untuk belajar subjek ini...

"Cikgu, hari ni nak lukis apa cikgu?"
"Cikgu, cepat cikgu saya nak lukis ni, cikgu?"
"Cikgu, boleh lukis apa saja ka cikgu?"
"Cikgu, tolong saya cikgu, saya tak reti nak lukis cikgu."

Itulah antara ayat-ayat anak muridku..tambah mengembirakan bila aku muncul di muka pintu mereka akan bersorak "yey"...Aku amat suka hati buat sekalian kalinya walaupun mereka menganggap aku seorang cikgu yang sangat garang...kenapa ku garang? sebab aku ingin pastikan setiap anak muridku melaksanakan setiap kerja yang aku berikan..tidak boleh ada sorang pun yang curi tulang..garangkan aku? sebenarnya aku bukannya sangat garang tapi saja buat2 garang...

Subek seni hari Selasa kelas 2 Baiduri, seorang anak murid bernama Gokhulan,
"Teacher, i dont want to go to dentist teacher, if they call my name aa teacher u tell them that i'm absent today teacher.." sangat suka bercakap budak ini, setiap hari selasa aku kena menerangkan kepadanya tiada sebarang doktor gigi yang memeriksa gigi murid..kalau tidak dia akan mengheret neneknya berkawad sekeliling sekolah selepas rehat..

Tiba waktu PJ, murid-muridku sangat suka PJ..mungkin mereka anggap PJ adalah waktu untuk bermain bersuka ria...Sekali lagi mereka akan bersorak "yey" bila aku muncul di muka pintu..

Mungkin bukan aku yang menjadi kesukaan mereka tapi subjek yang aku ajar...

Tapi aku mula rasa kurang ceria bila aku diarah untuk memegang jadual baru seorang cikgu yang bertukar ke sekolah lain..aku harus mengajar BM dan Muzik yang merupakan subjek yang aku kurang minat untuk mengajar kerana aku tiada sebarang asas....Aku amat berduka lara kerana tidak dapat lagi mengejar seni dan PJ...Aku harus mengajar BM di sebuah kelas yang amat mencabar ketenanganku..2 Mutiara...terdapat 2 budak kembar yang selalu membuat kacau di dalam kelas tersebut...Sangat perit rasa anak tekakku apabila aku harus mengajar seluruh tahun 2 Muzik...aku sangat tidak suka mengajar muzik....Aku rasa sangat kurang senang...

Aku juga harus menjadi guru kelas 2 Mutiara....Aku terima segala tugas ini sebagai amanah dan ketentuan daripada Allah...Pasti yang terbaik sahaja dikurniakan buat hambaNya...

Ya, Allah sinarkanlah kembali keceriaan dan kegembiraan pada diri HambaMU yang serba lemah ini...adakala aku rasa tidak berdaya....